KUALA LUMPUR, 15 September - Delegasi Malaysia melalui Sekretariat Sumud Nusantara yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Malaysia, Cinta Salam Malaysia dan rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO), akan bergerak menuju ke Gaza dari Tunisia.
Ia akan menyertai puluhan kapal antarabangsa yang berusaha memecahkan sekatan Israel terhadap wilayah Palestin itu.
"Sekarang ini kami masih berada di Tunisia kami menunggu untuk kapal-kapal untuk berlepas dan akan bertemu insya-allah. Perjalanan ini juga akan bergerak bersama dengan kapal-kapal dari Itali dan juga Sepanyol.
"Insya-allah akan bergerak pada hari ini dan akan bertemu dengan armada yang sedia ada untuk mulakan pergerakan," katanya.
Inisiatif yang bermula bulan lalu dengan pelepasan kapal dari Barcelona, Sepanyol, dan Genoa, Itali kini dianggap misi terbesar seumpamanya. Ia berbeza dengan cubaan terdahulu yang hanya melibatkan sebuah kapal dan sering dipintas tentera Israel.
Konvoi itu bertujuan mencabar sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berdepan kebuluran ekoran penutupan semua lintasan masuk sejak berbulan-bulan.