fb fb fb fb fb

Dedah pelajar dengan jaringan negara luar, tingkat potensi saintis muda

Chang Lih Kang diapit dua elajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman dan Shim Zi Jun yang baru-baru ini menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 11 September- Potensi saintis muda di Malaysia mampu dikembang ke peringkat global dengan meningkatkan keupayaan saintifik negara serta jaringan dengan negara luar menerusi pertukaran idea dan kepakaran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pihaknya akan terus kekal memberi pendedahan yang diperlukan mereka yang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang sains supaya dapat menjadi pencetus terhadap kemajuan sains dan teknologi negara.

"Ini merupakan salah satu usaha kami bagi meramaikan lagi pelajar dari Malaysia untuk memberi pendedahan secara langsung dengan institut penyelidikan terkemuka di peringkat global, dalam masa sama mengembangkan minat pelajar dalam bidang sains, termasuk fizik, perkomputeran, kejuruteraan dan matematik. Ini adalah peluang yang sangat bernilai,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan bersama dua pelajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman dan Shim Zi Jun yang baru-baru ini menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.

Mereka merupakan antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).

Sejak tahun 2012, MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar termasuk edisi tahun ini ke CSSP bagi meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosi kerjasama antarabangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE