KUALA LUMPUR, 16 Januari-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencatatkan sejarah apabila dinobatkan sebagai johan Debat Terbuka ASTAR edisi ke-26 selepas menewaskan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada pertandingan akhir yang diadakan di sini.
Pada pertandingan berkenaan UIA mempertaruhkan hujah-hujah yang mantap dan analisis kritis berdasarkan usul bertajuk “President of the United States (POTUS): Dalil Pengakhiran Keamanan Sarwajagat”.
Kemenangan tersebut melayakkan UIA membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00, piala pusingan, dan sijil penyertaan.
Kemenangan berkenaan lebih bermakna apabila salah seorang pendebat UIIA, Nur’Aliyah Atiqah Mohd Hafiz merangkul anugerah Pendebat Terbaik.
Debat Terbuka ASTAR, yang merupakan antara pertandingan debat tertua di Malaysia, berlangsung selama tiga hari bermula 28 November 2024 lalu.
Edisi kali ini, kembali diadakan secara bersemuka selepas pandemik COVID-19, melibatkan 28 pasukan dari pelbagai institusi termasuk universiti awam, universiti swasta, politeknik, dan kolej.
Format pertandingan yang inklusif turut memberi peluang kepada pelajar Diploma dan Asasi untuk bersaing dengan pelajar Ijazah Sarjana Muda, sekali gus memupuk budaya intelektual dalam kalangan pelajar pelbagai peringkat.
Majlis Penutupan DTA Edisi Ke-26 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Dalam ucapannya, Adly menekankan pentingnya budaya debat diteruskan bagi menyumbang kepada kemapanan dan produktiviti negara melalui idea-idea bernas yang dihasilkan oleh generasi muda.
“Pendidikan bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah, tetapi juga melalui platform seperti debat yang melatih pemikiran kritis, toleransi, dan keberanian menyuarakan pendapat.
"Saya berharap budaya ini akan terus berkembang untuk melahirkan lebih ramai belia yang berdaya saing,” katanya.