fb fb fb fb fb

Debat perbezaan agama cetus ketegangan masyarakat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 11 Mac - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyokong gesaan Datuk Aaron Ago Dagang agar perdebatan yang memfokuskan perbezaan agama dihentikan kerana ia boleh mengeruhkan hubungan antara penganut agama di negara ini.

Tegas beliau, sekiranya debat berkaitan agama itu diadakan, dikesali akan menyebabkan masyarakat berpecah-belah.

"Saya pun pernah juga diajak untuk berdebat. Sebenarnya perkara ini kalau dibuat secara terbuka, ia akan menyebabkan masyarakat akan lebih berpecah belah. Jadi saya setuju dan sokonglah apa yang disebut oleh rakan sejawat saya, Datuk Aaron Ago Dagang untuk pihak-pihak yang terlibat ini untuk dia fikirkan dan memastikan kesatuan dan perpaduan rakyat di negara kita ini yang berbilang agama, bangsa akan dapat diperkukuhkan," kata Dr. Na’im.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program ERAT Ramadan 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Menurutnya, isu sensitif yang menyentuh isu agama harus ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan sikap saling menghormati dan perbincangan mengenainya perlu dilakukan dalam suasana hormat dan harmoni.

Dalam pada itu, Program ERAT Ramadan 2025 anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berlangsung dengan penuh penghayatan bagi memperkukuh integriti dan kebersamaan dalam masyarakat.

Dr.Na’im menekankan kepentingan menjadikan integriti sebagai tunjang utama dalam kehidupan dan pentadbiran negara.

"Jadi dengan adanya Tajabul Al-Quran berkaitan dengan surat as saf ini, suruhanjaya intergriti mengajak bukan sahaja warga agensi penguatkuasa, tetapi juga seluruh masyarakat dan rakyat di negara kita ini untuk menghayati hasrat daripada yang amat berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan isu berkaitan dengan amanah, intergriti, menjauhkan diri daripada amalan rasuah dan juga salah guna kuasa," katanya.

Program EAIC Quran Hour itu menyaksikan peserta membaca dan mentadabbur Surah As-Saff yang menekankan kepentingan kejujuran dan menepati janji.

Selain itu, program turut disemarakkan dengan gotong-royong penyediaan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus Al-Quran yang bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan mahabbah di kalangan peserta.

Inisiatif EAIC tersebut sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh integriti dan menolak amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam sektor penguatkuasaan dan pentadbiran.

TETITIA YUSOFF