(Foto fail)
PUTRAJAYA, 2 Mei- Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dijadual mengadakan lawatan kerja ke New Zealand bermula hari ini hingga Khamis.
Kunjungan itu atas jemputan rakan sejawatannya, Nanaia Mahuta.
Ia menjadikan New Zealand negara Pasifik pertama dikunjungi Dr. Zambry sejak menyandang jawatan Menteri Luar pada 2 Disember 2022.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua menteri dijangka membincangkan status kerjasama dan hubungan dua hala sedia ada, di samping bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Mereka juga dijadual menyaksikan pemeteraian dokumen Rakan Kerjasama Strategik Malaysia – New Zealand yang akan ditandatangani Pegawai Kanan Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar dan Perdagangan New Zealand.
Dr. Zambry juga akan mengadakan pertemuan interaktif dengan diaspora Malaysia di New Zealand termasuk pelajar dan komuniti perniagaan.
Tahun lepas,New Zealand kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah dagangan bernilai RM11.3 bilion, meningkat 49.6% berbanding RM7.55 bilion pada 2021.
(Datuk Seri Dr. Zambry mulakan lawatan kerja ke New Zealand)