SHAH ALAM, 1 Mac – Kawasan Dataran Merdeka sehingga Carcosa Seri Negara bakal dijadikan sebagai Tapak Warisan Kuala Lumpur bagi memelihara nilai sejarah dan warisan ibu kota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membentangkan perancangan tersebut kepada Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Jemaah Menteri meminta Khazanah dan DBKL menerangkan mengenai seluruh kawasan bermula dari Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu sehingga Carcosa Seri Negara untuk dijadikan keseluruhan tapak Warisan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, di sini pada Jumaat.
Anwar turut memaklumkan, buat pertama kali dalam sejarah, peruntukan sebanyak RM1 bilion telah disediakan oleh Khazanah bagi memastikan pemeliharaan warisan Kuala Lumpur.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad akan dikekalkan sebagai simbol Warisan Kesultanan Melayu yang agung.