PUTRAJAYA, 4 Julai - Dasar Industri Perkapalan Negara bakal diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan industri perkapalan yang dilihat berpotensi besar dalam menyumbang ekonomi Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dasar ini akan menggalakkan penggunaan kapal dan krew warga tempatan untuk mengangkut kargo khususnya minyak dan gas serta eksport komoditi negara.
“Ini cadangan (dasar) yang kita akan angkat selepas perincian dengan pelbagai pihak berkepentingan dan kita harap dasar ini akan dapat kita bentang pada Kabinet, hujung tahun ini.
“(Ini) supaya dapat diangkat sebagai dasar memandu pertumbuhan industri perkapalan negara, kerana kita lihat pentingnya industri perkapalan kepada ekonomi dan keselamatan sesebuah negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, sekiranya dasar itu diwujudkan, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan.
"Industri perkapalan ini tidak begitu diberikan perhatian oleh lepasan sekolah, khususnya mereka lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun lepasan universiti.
“Mereka biasanya bukan memilih seafarers sebagai satu opsyen pekerjaan, tetapi saya ingin nyatakan bahawa sebenarnya seafarers ini ada banyak peluang yang menarik dan mereka juga boleh menjadi pelaut yang mendapat pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk melatih anak muda bagi menyertai industri perkapalan.