PUTRAJAYA, 12 Mac- Pemberian dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) adalah pelaburan strategik Permodalan Nasional Berhad dalam bentuk saham boleh tukar dan bukan bantuan kewangan tanpa pulangan.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata, pekara itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa pemberian dana tersebut disifatkan sebagai satu bentuk bailout untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.
"Kita tidak lihat dalam kes Sapura Energy ini sebagai satu bailout kerana ia datang dengan syarat-syarat yang khusus.
"Daripada pelaburan PNB sebanyak RM1.1 bilion, ini dalam bentuk sama ada boleh ditebus ataupun diubah suai, ditukar menjadi saham yang dipegang.
"Kita semua sedia maklum dalam kes PNB, hasratnya adalah untuk mencipta nilai dan merealisasikan keuntungan yang akan dipulangkan kepada pendeposit dalam pelbagai bentuk seperti simpanan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.