PUTRAJAYA, 28 Mei- Daie muda perlu melengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani serta iman yang kukuh sebelum berdakwah di media sosial, agar tidak tersasar daripada hala tuju sebenar seorang pendakwah.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata berbekalkan kekuatan tersebut, pelapis pendakwah di negara ini boleh mewarnai dunia dakwah di media sosial, sekali gus menjadi pempengaruh yang diminati.
"Menguasai media sosial dan sebagainya..tapi hanya menguasai alat-alat itu jiwa dan kekuatan mereka mereka kita tak isi, kita akan hadapi kepincangan juga.
"Jadi kita nak serentak supaya mereka diisi dengan pelbagai kekuatan, bangun malam, hafazan dan sebagainya.
"Pada masa sama, mereka menguasai itu supaya mereka dapat mewarnai 'medsos' itu bukan sekadar hanya mengikut rentak dan akhirnya mereka terpengaruh.. tapi kita nak mereka yang mempengaruhi, supaya 'medsos' itu akan diminati anak-anak muda di luar. Itu kita harapkan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 31 pelatih Akademi Daie Muda YADIM musim ke-6 dalam satu majlis di sini.
Tambahnya, pada tahun ini pendekatan latihan kepada pelatih berkenaan telah ditambah baik dengan 70 peratus di lapangan dan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas.
Semua pelatih tersebut mula menjalani latihan mengikut modul yang ditetapkan seperti pementasan mingguan dan dakwah di lapangan, sejak 1 Mei lalu sehingga awal Ogos ini.