fb fb fb fb fb

Dakwaan kemasukan pelajar secara tidak sah ke UA tidak berasas

Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman

KUALA LUMPUR, 25 Disember- Jawatankuasa Naib Canselor Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menyifatkan dakwaan kemasukan pelajar secara tidak sah ke universiti awam adalah tidak berasas dan tanpa bukti kukuh.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Pengerusi JKNCR UA Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman menyangkal tuduhan itu sebaliknya menegaskan proses pemilihan pelajar ke universiti awam adalah melalui saluran terbuka atau saluran komersial yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) tidak sampai 10 peratus pelajar yang masuk melalui saluran terbuka ini berbanding saluran perdana.

"Ia adalah kira-kira 11,860 berbanding dengan keseluruhan pengambilan pelajar bagi setiap kohort iaitu hampir 150,000 pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibu negara.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa kemasukan ke program-program kritikal di universiti awam bergantung kepada kekosongan universiti.

"Program kritikal ada had pelajar, sekiranya penuh ia tidak akan ditawarkan kepada saluran terbuka.

"Lazimnya bidang-bidang kritikal jarang dibuka melalui saluran terbuka kerana saluran perdana telah dipenuhkan terutamanya pelajar yang layak termasuk daripada kumpulan B40, T20 dan juga M20," katanya lagi.

Mohd Ekhwan juga berkata universiti awam menyediakan akses pendidikan tinggi berkualiti untuk pelajar yang memenuhi syarat, tanpa mengira latar belakang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI