PUTRAJAYA, 23 Oktober -Dakwaan bahawa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 September lepas hanyalah salah faham.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kes berkenaan telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Jelas beliau, siasatan mendapati, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota APMM yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang di kawasan tersebut.
“Janganlah kita melebih-lebihkan perkara ini. Ia hanyalah sebahagian daripada latihan bagi melahirkan pasukan elit.
Kes ini telah pun diselesaikan dengan baik bulan lalu, namun ia digambarkan seolah-olah berlaku serbuan komando yang masuk ke ruang solat dengan memakai kasut, sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Saifuddin, latihan itu dijalankan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan titik hentian.
Masjid Rusila adalah satu daripada lokasi persinggahan untuk anggota menunaikan solat semata-mata.
Beliau berkata, kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (NFA) setelah polis mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku dan penerangan lengkap telah diberikan kepada pengurusan masjid berkenaan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat.
Beliau mendakwa, terdapat sekumpulan individu menaiki beberapa kenderaan memasuki kawasan masjid dan tidak menanggalkan kasut.
Sehubungan itu, Datuk Seri Saifuddin mengingatkan semua pihak agar berpada-pada dalam membincangan perkara yang boleh menjejaskan tanggungjawab pasukan penguatkuasaan negara.