fb fb fb fb fb

Dakwaan anggota trafik minta RM100, usaha kesan warga UK dilakukan

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 29 Januari- Polis Perak akan menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung video tular tindakan saman anggota trafik ke atas warga negara United Kingdom kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, usaha mengesan warga negara United Kingdom itu juga sedang dilakukan bagi membantu siasatan.

"Kita akan mengkaji dari pelbagai aspek daripada masa, tempat, tarikh kejadian itu berlaku, semua segala aspek, jadi saya serahkan kepada pihak Bukit Aman dan kita akan menunggu arahan daripada Bukit aman untuk siasatan seterusnya.

"Kita masih menjejakinya, difahamkan mereka telah berada di luar Malaysia", katanya kepada pemberita dalam sidang media program Healthy Eating Active Living (HEAL) di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh.

Semalam, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau turut memberi jaminan, polis tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota.

ROSLINA BINTI DIN