fb fb fb fb fb

Daftar pemilih tambahan April 2024 dibuka untuk semakan- SPR

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kepada orang ramai berumur 18 tahun ke atas yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya untuk menyemak nama mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak, menerusi kenyataan memaklumkan, Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2024 (DPT BLN4/2024) diperaku dan diwartakan hari ini dan semakan dibuka selama 30 hari mulai hari ini hingga 19 Jun 2024.

Beliau berkata, daftar pemilih tersebut mengandungi lebih 36,000 nama dalam tempoh 1 April hingga 30 April 2024 didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baru.

Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih perlu mengisi borang D melalui pautan yang tertera.

SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN4/2024 iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my; dan aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak atau hotline Semakan Pendaftaran Pemilih menerusi talian 03-8892 7218.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE