fb fb fb fb fb

Cukai SToDS, LVG wujudkan saingan adil antara peniaga

Cukai SToDS, LVG wujudkan saingan adil antara peniaga-Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Pelaksanaan Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital luar negara (SToDS) dan Cukai barangan bernilai rendah (LVG) bantu seimbangkan jurang antara penjual di dalam dan luar negara, sekali gus dapat menangani isu ketirisan hasil negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata perlaksanaan cukai tersebut merupakan antara strategi kerajaan untuk memperkukuh pematuhan cukai, khususnya melibatkan transaksi digital dan rentas sempadan yang sebelum ini tidak berada dalam rangkuman sistem percukaian negara.

“Sebelum pelaksanaan LVG, barangan import bernilai RM500 dan ke bawah boleh memasuki pasaran tempatan tanpa dikenakan cukai jualan, sedangkan perniagaan tempatan perlu menanggung cukai dan pelbagai kos operasi, katanya dalam Persidangan Dewan Negara, hari ini.

Langkah itu juga memastikan pengguna tidak lagi menikmati perbezaan harga semata-mata disebabkan pengecualian cukai, selain mewujudkan persaingan adil kepada peniaga tempatan berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Mengulas lanjut, Lim berkata pengenaan SToDS pula bertujuan mewujudkan 'level playing field' antara penyedia perkhidmatan digital tempatan yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan dan penyedia perkhidmatan digital luar negara yang sebelum ini tidak dikenakan cukai sedemikian.

“SToDS kini dikenakan ke atas semua penyedia perkhidmatan digital asing tanpa mengira negara asal, selagi memenuhi kriteria perkhidmatan digital yang digunakan oleh pengguna di Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan digital luar negara seperti Netflix, Apple, Microsoft, Google dan lain-lain diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta menyerahkan cukai perkhidmatan apabila perkhidmatan mereka digunakan oleh pelanggan di Malaysia.

Usaha itu, katanya, memastikan penyedia perkhidmatan digital luar negara memikul tanggungjawab cukai yang setara dengan penyedia tempatan, sekali gus menyokong persekitaran pasaran yang adil dan ekosistem digital yang mampan.

JALALUDDIN BIN BAHARIN