KUCHING, 13 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengekalkan penjawat awam dalam skim bakat termasuk wartawan dan jurukamera selepas mereka dinaikkan pangkat.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Man berkata, ini bagi memastikan kepakaran dan pengalaman tidak disia-siakan bagi mengelakkan gangguan terhadap fungsi jabatan apabila pegawai yang berpengalaman dipindahkan ke jawatan lain.
“Kadangkala semangat dan kepakaran seseorang penjawat awam dalam bidang tertentu sukar diganti. Oleh itu, penting untuk memastikan laluan kerjaya mereka tidak terhalang akibat perubahan skim perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak, Wan Azahan Wan Hamat, di RTM Kuching Sarawak di sini hari ini.
Dalam siri jelajah CUEPACS ke Sarawak, beliau turut memaklumkan beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh penjawat awam.
Ini termasuk bayaran Insentif Wilayah yang kekal pada kadar lama sejak pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SPPA).
Bagaimanapun, beliau yakin bahawa skim baharu yang bakal dilaksanakan akan memastikan tiada pihak yang mengalami kerugian, terutama dalam aspek penyelarasan gaji pokok dan kebajikan penjawat awam.