fb fb fb fb fb

CUEPACS mohon kerajaan laksana tiga langkah bantu penjawat awam

KOTA KINABALU, 10 Jun- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan melaksanakan tiga langkah penting bagi membantu penjawat awam yang kini terkesan akibat kenaikan harga barang.

Ia termasuk, melaksanakan gaji minimum RM1,800, menaikkan dua tangga Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi penjawat awam sedia ada dan cadangan sistem saraan baharu, bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, tuntutan tersebut sangat relevan dan dibuat berdasarkan kepada keupayaan kewangan kerajaan.


(Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat)

“Kami tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan beberapa langkah utama menangani kenaikan harga barang, tetapi pada masa ini masih tidak mampu membantu kami menghadapi situasi itu dengan kedudukan kewangan dan gaji kami sekarang", katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 dalam sektor awam akan diikuti sektor swasta yang seterusnya akan dilaksanakan secara menyeluruh dan lancar.

Ia sekali gus memudahkan kerajaan mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan bagi mencapat matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 melalui Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu, jelas beliau, SSM sedia ada telah berusia kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam dalam situasi masa kini.

Beliau bercakap dalam satu sidang media di Kota Kinabalu, Sabah.

Media Baharu