fb fb fb fb fb

Cuba seludup keluar petrol, dua warga Thailand ditahan

FOTO KPDN

DURIAN BURUNG, 28 Julai - Dua warga Thailand disyaki cuba menyeludup keluar petrol melalui dua buah kenderaan ditahan dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya, di Jalan Durian Burung menghala ke Kompleks Imigresen,Kastam, Kuarantin dan Keselamatan  (ICQS) Kota Putra, di sini.

Pengarah Pejabat  Perdagangan Dalam Negeri  dan Kos Sara Hidup KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan berkata, kedua-dua pemandu terbabit diserahkan kepada pihaknya setelah ditahan pasukan Gerakan Am PGA  pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari semalam.
 
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua buah kenderaan terbabit mempunyai tangki ubah suai yang mengandungi bahan api disyaki petrol dianggarkan berjumlah 130 liter bagi setiap kenderaan.
 
"Kedua-dua pemandu  kenderaan  seorang lelaki berusia 21 tahun dan seorang wanita berusia 39 tahun ditahan untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan itu.
 
Selain itu, minyak petrol berjumlah dengan anggaran 260 liter bernilai RM533 dan dua kenderaan dianggarkan bernilai RM8,000 turut disita dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM8,533.
 
Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini.
 
Kes disiasat bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan dibaca bersama Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

TETITIA YUSOFF