fb fb fb fb fb

Cuaca tekanan rendah punca banjir di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 November - Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara ketika ini bukan sahaja membawa hujan lebat ke negeri-negeri pantai timur tetapi juga menyebabkan banjir di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia apabila angin bertiup lebih kuat daripada biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fenomena itu diperkuatkan lagi dengan kewujudan sistem tekanan rendah yang kini mempengaruhi cuaca di utara dan barat Semenanjung.

Katanya, sistem berkenaan menyebabkan penumpuan angin lembap, sekali gus meningkatkan taburan hujan di kawasan terlibat.

"Tekanan rendah boleh diibaratkan seperti kawasan lantai yang rendah. Apabila air dicurah, ia akan berkumpul. Begitu juga angin, apabila ada tekanan rendah, angin akan tertumpu ke kawasan itu. Jika angin tersebut lembap, ia membawa hujan lebat," katanya ketika ditemui selepas program Bicara Naratif di Angkasapuri, hari ini.

Beliau berkata, sistem tekanan rendah yang pada awalnya dikesan di selatan Thailand telah bergerak ke Laut China Selatan sebelum menyebabkan hujan lebat di Perak, Selangor dan Perlis, bagaimanapun ia dilaporkan sudah beralih ke Sumatera, Indonesia.

“Kita sedang memantau sistem tekanan rendah ini. Ada kemungkinan ia boleh bergerak semula ke kawasan kita dalam beberapa hari akan datang,” katanya, sambil menambah bahawa fenomena tekanan rendah berulang semula adalah sesuatu yang mungkin akan berulang.

Mohd Hisham berkata, sistem tekanan rendah yang semakin menguat berpotensi berkembang menjadi ribut taufan, namun risiko pembentukan taufan di Malaysia adalah amat rendah.

Katanya, Malaysia berada di kawasan yang selamat daripada pembentukan taufan dan dari sudut sains kemungkin untuk ia berlaku adalah sangat rendah.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa kini terus melakukan pemantauan rapi terhadap pergerakan sistem tekanan rendah bagi memastikan sebarang perubahan cuaca dapat dimaklumkan kepada orang ramai dengan segera.

AZRUL FAIZAL JUSOH