Cradle biayai lebih 1,300 syarikat pemula, cipta 82,000 peluang pekerjaan

Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) telah membiayai lebih 1,300 syarikat pemula, dengan kelulusan pembiayaan melebihi RM280 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cradle memberi pembiayaan lanjutan RM1.6 bilion, mencipta lebih 82,000 peluang pekerjaan baru dan menyumbang kepada KDNK.
  • Cradle melaksanakan 38 pelaburan ekuiti bernilai RM40.7 juta, membantu syarikat capai RM448 juta pembiayaan lanjutan dan sumbangan KDNK besar.
  • MYStartup daftar 5,013 syarikat dengan nilai terkumpul >RM200 bilion; Kuala Lumpur diiktiraf GSER sebagai ekosistem muncul ke-18 dunia.

Menterinya, Chang Lih Kang, berkata syarikat-syarikat berkenaan turut menerima pembiayaan lanjutan terkumpul sebanyak RM1.6 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan baharu dan menyumbang RM1.02 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selain itu, Cradle turut melaksanakan 38 pelaburan ekuiti dalam syarikat pemula dengan nilai keseluruhan RM40.7 juta,” katanya.

Menurut beliau, syarikat-syarikat terbabit kemudiannya berjaya memperoleh RM448 juta pembiayaan lanjutan, mewujudkan 1,063 peluang pekerjaan baharu serta menyumbang RM2.48 bilion kepada KDNK.

“Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 5,013 syarikat pemula dari seluruh negara telah berdaftar di platform tetingkap tunggal MYStartup, dengan nilai syarikat terkumpul melebihi RM200 bilion dan jumlah pembiayaan diterima hampir RM40 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Lih Kang, menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan pembiayaan yang dipacu Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021–2030 serta disokong Pelan Tindakan KL20, Kuala Lumpur kini diiktiraf sebagai ekosistem baharu muncul ke-18 terbaik dunia menurut Global Startup Ecosystem Ranking (GSER) 2025.

Pencapaian itu, katanya, membuktikan kekuatan, daya tahan dan potensi besar ekosistem syarikat pemula tempatan untuk berkembang sebagai hab serantau dan global, sekali gus menjadi pemangkin kepada syarikat pemula tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Kerajaan, katanya, kekal komited untuk terus menyokong pembangunan dan penskalaan syarikat pemula bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau menjelang 2030.