fb fb fb fb fb

COVID-19: Dos penggalak pertama untuk kanak-kanak, vaksinasi bayi enam bulan

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (kiri) dan Ketua Pengarah Kesihatan,
Tan Sri Noor Hisham Abdullah (kanan) pada sidang media di ibu negara)


KUALA LUMPUR, 7 September- Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Kumpulan Kerja Teknikal mengesyorkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun diberikan dos penggalak pertama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pemberian dos penggalak pertama akan dapat meningkatkan keberkesanan vaksin terhadap penyakit teruk yang disebabkan oleh varian Omicron dan boleh diberikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan dos vaksin terakhir.

"Varian Omicron lebih mudah berjangkit dan merebak dengan lebih cepat selain berisiko menyebabkan lebih banyak kemasukan ke hospital dan kematian.

"Kekebalan sistem imun yang berkurangan dari semasa ke semasa, ditambah dengan pengelakan imun oleh varian Omicron, akan menyebabkan keberkesanan vaksin juga berkurang.

"Justeru, kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun dengan komorbiditi atau imunokompromi (imun yang lemah) adalah kumpulan kanak-kanak yang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk," katanya.pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA)-Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini.

Sementara itu, Khairy berkata, vaksin COVID-19 boleh ditawarkan kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun dengan komorbiditi atau imunokompromi (imun yang lemah) yang teruk.

"KKM sudah memulakan proses perolehan vaksin COVID-19 dengan formulasi khusus untuk kumpulan kanak-kanak ini," katanya.

(FOTO HIASAN)

Dalam perkembangan lain, pada ketika ini untuk dos penggalak kedua vaksinasi heterologous hanya diluluskan terhadap vaksin Pfizer.

"Dos penggalak kedua boleh diberikan kepada beberapa kumpulan populasi iaitu individu yang berumur 50 tahun dan ke atas, individu yang berumur 12 tahun dan ke atas dengan imun yang lemah, sederhana dan teruk serta individu yang berumur 18 tahun ke atas dengan komorbiditi dan berisiko mendapat penyakit yang teruk.

"Selain itu, dos penggalak kedua vaksinasi heterologous boleh diberikan kepada wanita mengandung atau ibu menyusu anak dan petugas kesihatan.

"TWG kini juga mengesyorkan vaksin heterologous dengan vaksin mRNA atau vaksin vektor virus untuk dos penggalak kedua boleh diberikan kepada individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk akibat COVID-19," katanya.

Katanya, vaksinasi heterologous untuk dos penggalak kedua boleh diberikan atas nasihat petugas perubatan terhadap vaksin jenis ternyahaktif untuk dos permulaan boleh dipertimbangkan untuk menggunakan vaksin vektor atau mRNA untuk dos berikutnya," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata vaksin jenis vektor untuk dos permulaan juga boleh dipertimbangkan dengan menggunakan vaksin mRNA untuk dos berikutnya, vaksin mRNA untuk dos permulaan boleh dipertimbangkan untuk menggunakan vaksin vektor untuk dos berikutnya.

Media Baharu