fb fb fb fb fb

Cikgu Nazmi dalam kelompok 10 guru terbaik dunia

Muhammad Nazmi Rosli pada anugerah Hadiah Guru Global 2025

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Seorang guru di Sarawak Muhammad Nazmi Rosli, 32 berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik untuk kategori Hadiah Guru Global 2025 yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta.

Guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Sebangang itu bersaing dengan 10 peserta akhir dari pelbagai negara iaitu India (Muhammad Imran Khan Mewati), New Zealand (Subash Chandar K), Australia (Brett Dascombe), Malawi (Tionge Mtambo), Colombia (Ramon Maje Floriano), Perancis (Celine Haller) Arab Saudi (Mansour Al-Mansour), Argentina (Karina Sarro) dan Amerika Syarikat (Erick Hueck).

Namun daripada 10 senarai itu Hadiah Guru Global 2025 menjadi milik Mansour Al-Mansour seorang pendidik dari Arab Saudi.

Al-Mansour terkenal dengan kerja amal dan mengajar banduan selain beliau juga merupakan seorang penulis yang terkenal dengan kerja kemasyarakatan.

Hadiah itu dianugerahkan oleh Yayasan Varkey, yang diasaskan oleh Sunny Varkey, pengasas syarikat pendidikan GEMS Education, yang mengendalikan puluhan sekolah di Mesir, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Al-Mansour merupakan guru ke-9 yang memenangi anugerah daripada yayasan itu yang mula menganugerahkan hadiah tersebut sejak 2015.

Pemenang terdahulu termasuk seorang guru dari Kenya, guru sekolah rendah Palestin dan guru dari Kanada.

Biarpun Nazmi tidak memenangi hadiah tersebut namun beliau puas mendedikasikan kerjayanya untuk merapatkan jurang antara pelajar dengan dunia lebih luas.

Model pengajaran inovatif "The Danger-Room," dijadikan sebagai bilik darjah simulasi yang diilhamkan daripada komik X-Men.

Pendekatan itu mengubah bilik darjahnya kepada pengalaman lebih mengasyikkan seperti keadaan di stesen kereta api, kabin kapal terbang, kedai haiwan peliharaan, dan juga wad bayi.

Pembelajaran kontekstual itu meningkatkan hasil akademik dan meluaskan imaginasi pelajarnya sekali gus membolehkan pelajar melihat masa depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI