KUALA LUMPUR, 4 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng yang meninggal dunia pada petang semalam.
Anwar menerusi hantaran di Facebook menyifatkan mendiang Datuk Chua sosok yang telah banyak menabur bakti kepada negara khususnya selaku Menteri Kesihatan paling lama, selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.
Katanya, mendiang turut memainkan peranan penting sepanjang bersama Keadilan, tatkala mengemudi pimpinan parti itu di Johor.
"Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat serta rakan-rakan yang sama turut sama berjuang untuk negara tercinta. Saya doakan urusan keluarganya dipermudah,” menurut catatan itu.
Jui Meng, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang pada pukul 4.04 petang Ahad.
Beliau yang sebelum ini bersama MCA menyertai PKR pada 2009 dan seterusnya dalam tempoh setahun bersama parti itu, beliau dilantik sebagai Naib Presiden parti.