fb fb fb fb fb

Cerun runtuh di Paya Terubong: langkah segera diambil

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan langkah awal telah diambil bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bersama agensi berkaitan, berjaya mengawal kejadian cerun runtuh yang berlaku di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kawasan terjejas ditutup menggunakan kanvas sebagai langkah awal mengurangkan risiko runtuhan susulan.

“Tindakan ini hasil penyelarasan erat antara Pejabat Daerah, PDRM, Bomba, APM, wakil rakyat setempat serta pihak berkuasa tempatan yang sentiasa bersiap siaga demi keselamatan penduduk,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, JKR akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mendapatkan laporan geoteknikal untuk menilai keadaan cerun secara menyeluruh dan merancang langkah pembaikan jangka panjang.

“Hasil siasatan teknikal ini penting bagi memastikan struktur cerun lebih stabil serta mengelakkan risiko berulang,” tambahnya.

Nanta menegaskan kerajaan melalui JKR akan terus memberi keutamaan kepada aspek keselamatan rakyat, khususnya di kawasan cerun berisiko, sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam tindakan segera tersebut.

Kementerian, katanya, akan memantau rapat perkembangan insiden berkenaan dan memastikan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan secepat mungkin demi kesejahteraan penduduk setempat.

TUN JULIA MOHD TAHIR