fb fb fb fb fb

Ceroboh perairan negara, Maritim Malaysia tahan bot nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Terengganu telah menahan sebuah bot nelayan asing di kedudukan 67 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu semalam.

Bot nelayan asing Vietnam itu ditahan semasa rondaan bersepadu OP PAGAR LAUT, OP KUDA LAUT dan OP IMAN pada Sabtu kira-kira pukul 3.20 petang.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tersebut dikendalikan enam kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berusia 18 hingga 56 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta bot tidak mempunyai permit menangkap ikan yang sah.

Nelayan Vietnam terbabit dipercayai sengaja mengambil kesempatan menceroboh perairan negara kerana beranggapan penguatkuasaan longgar ketika sambutan Aidilfitri.


(Bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia kerana menceroboh perairan negara) 

Ini merupakan tangkapan ke-14 melibatkan pencerobohan nelayan asing melalui OP KHAS PAGAR LAUT dengan penahanan 104 kru warga Vietnam.

Turut dirampas hasil laut seberat hampir 100 kilogram dan 500 liter bekalan diesel serta peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran di perairan negara.

Media Baharu