fb fb fb fb fb

Ceroboh data ePenyata Gaji: NACSA akan keluar kenyataan

(ePenyata Gaji yang digunakan penjawat awam untuk melihat penyata gaji)

KETEREH, 18 September- Kerajaan sudah mendapat petunjuk tertentu berhubung dakwaan berlaku pencerobohan sistem penyata gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata kenyataan lanjut akan dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

"CSM bawah kementerian akan memberi perkhidmatan penyiasatan forensik kerana tenaga pakar dalam kajian forensik ada di CyberSecurity Malaysia. SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sebagai badan kawal selia juga diperlukan untuk memberi input-input tertentu terutama sekali dalam mengenal pasti pendaftaran IP dan sebagainya," katanya setelah merasmikan Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas, di sini.

Media sebelum ini melaporkan, penggodam yang mengaku daripada organisasi keselamatan siber 'gray hat' mendakwa menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam, bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.

(Tan Sri Annuar ditemui selepas perasmian Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga
Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas)

Menerusi e-mel ditujukan kepada media sebelum disiarkan akhbar harian Sin Chew Daily, kumpulan itu turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti melalui pangkalan data sistem berkenaan dalam format JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separeted values (CSV).

Antara maklumat yang diakses ialah nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel, selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan fail bersaiz 188.75GB.

Tegas Annuar, kerajaan memandang serius isu ketirisan data yang kini menjadi fenomena global

Satu kerangka kerja sedang dibentuk bagi melindungi maklumat pengguna.

Media Baharu