GOPENG, 9 November- Tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan mengalami cedera ringan selepas bas yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori, awal pagi tadi.
Kemalangan berlaku di Kilometer 295.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Gopeng, menyebabkan bahagian hadapan bas tersebut remuk.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu kira-kira pukul 4.03 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Simpang Pulai digerakkan ke lokasi kejadian.
Kemalangan melibatkan sebuah lori treler dengan sebuah bas persiaran bersama 41 penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Melaka ke Kedah.
Bagaimanapun, kesemua penumpang berjaya keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba manakala pemandu bas dan lori dilaporkan selamat.
Mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.
Operasi tamat pada pukul 5.00 pagi.