Cerapan berkualiti bukti keupayaan ilmu falak negara

Dr. Zulkiflli Hasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Ilmu falak di negara ini terus diperkasa khususnya di peringkat institusi pengajian tinggi susulan kejayaan cerapan berkualiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan cerapan berkualiti memperkukuh pembangunan ilmu falak di peringkat institusi pengajian tinggi.
  • Gabungan ilmu falak, astronomi dan teknologi meningkatkan kemahiran serta bakat umat Islam.
  • Kerjasama antara universiti seperti UM dan USIM menunjukkan kepimpinan negara dalam bidang ini.
  • Cerapan negara dijadikan rujukan berkualiti dan dianggap antara yang terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkiflli Hasan berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan keupayaan negara dalam membangunkan bakat serta meningkatkan kemahiran umat Islam dalam bidang berkenaan.

“Kita dapat lihat di peringkat universiti, termasuk dari sudut teknologi, kita menggabungkan ilmu falak dengan astronomi serta teknologi lain.

“Beberapa universiti telah mengadakan kerjasama, antaranya Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta beberapa institusi lain. Ini membuktikan negara kita sudah berada di hadapan dalam bidang ini.

“Malah, banyak rujukan dibuat berdasarkan cerapan yang kita jalankan, dan ada antaranya dianggap antara yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447H/2026M di Menara Kuala Lumpur di ibu negara.

Seramai 30 petugas dari pelbagai agensi telah terlibat antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wilayah Persekutuan serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Majlis cerapan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil dan wakil pengurusan tertinggi agensi agama.