fb fb fb fb fb

'Cef Wira' musim kedua kembali temui penonton mulai 8 Ogos ini

Cef Wira akan disiarkan setiap Rabu dan Khamis pada pukul 12.30 tengah hari di saluran Okey, serta boleh ditonton secara percuma di RTMKLIK.

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Program masakan yang dinanti-nantikan, 'Cef Wira', kembali untuk musim kedua mulai 8 Ogos ini.

Rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan disiarkan setiap Rabu dan Khamis pada pukul 12.30 tengah hari di saluran Okey, serta boleh ditonton secara percuma di RTMKLIK.

Musim kali ini menjanjikan pelbagai menu yang menekankan gaya hidup sihat, ringkas, cepat, dan sedap.

Setiap episod akan dimulakan dengan gimik menarik Cef Naem dengan menggambarkan unit beruniform dalam suasana cemas, seperti anggota bomba sedang menyelamatkan haiwan atau lokasi.

Setiap episod akan memperkenalkan unit beruniform yang menjadi tetamu.

"Program ini juga memberi tumpuan kepada unit atau badan beruniform yang kurang dikenali, seperti Unit Berkuda DBKL, dan membolehkan penonton menyaksikan hos bersama tetamu undangan (cef-cef dari kalangan anggota beruniform) memasak bersama.

"Cef Naem akan cuba menambahbaik hidangan yang disediakan agar bersesuaian dengan tugas mereka," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Program Cef Wira juga akan menampilkan artis-artis undangan seperti Ummi Nazeera, Adam Lee, Trisha Ooi, dan Muaz Zabir.

"Akhir program tersebut ditutup dengan segmen Trivia yang berkongsi tip-tip amalan sihat sesuai dengan
tugasan masing-masing," tambah kenyataan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN