fb fb fb fb fb

Cadangan tarif air baharu di Semenanjung dan Labuan akan ke Kabinet minggu depan

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Cadangan mekanisme penetapan tarif air baharu di Semenanjung dan Labuan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tarif air sedia ada termasuk bagi akaun domestik dijangka akan dikaji semula apabila mekanisme itu diguna pakai kelak.

"Kita akan menjangkakan akan ada peningkatanlah sebab banyak terutamanya bagi akaun domestik yang sudah tidak naik begitu lama. Jadi itu juga satu perkara yang penting untuk membolehkan kita mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW), meningkatkan infrastruktur air dan sebagainya, " kata Nik Nazmi kepada pemberita selepas melancarkan Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 4.0, sempena karnival Setahun Kerajaan Madani di Bukit Jalil.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan meneruskan Mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi bekalan elektrik untuk tahun hadapan.

Mekanisme tersebut akan diteruskan sehingga kerajaan mempunyai maklumat terperinci pendapatan isi rumah melalui sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

SAVE 4.0 dikelolakan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) sebagai agensi pelaksana menyediakan pemberian e-rebat sehingga RM400 kepada pengguna bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga berlabel.

Ia dibiayai Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.

Rebat terhad kepada satu akaun bil elektrik sahaja dan untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari lama sesawang www.saveenergy.gov.my.

TETITIA YUSOFF