KOTA KINABALU, 31 Mac - Cadangan projek Kereta Api Trans Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimatan di Indonesia bakal menjadi pemangkin ekonomi bagi wilayah Borneo.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebaik direalisasikan, projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi itu akan memberi impak dalam meningkatkan kesalinghubungan rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi di wilayah itu.
“Dari segi ekonomi, ia akan memudahkan perdagangan, menggalakkan pertumbuhan industri di kawasan sempadan dan meningkatkan pelancongan di wilayah Borneo,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya telah menerima cadangan awal mengenai Projek Kereta Api Trans Borneo pada November tahun lepas.
Beliau berkata, idea berhubung projek mega yang menghubungkan Sarawak dan Sabah serta menyambungkan ke Kalimantan, Indonesia datangnya dari Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kewangan khusus untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan laluan Kereta Api Trans Borneo melibatkan bahagian Sarawak-Sabah.
Projek Kereta Api Trans Borneo, dicadang akan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.
Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari barat ke pantai Timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah manakala fasa dua pula melibatkan Kalimantan Utara dan Timur menghubungkan laluan utama dengan Samarinda dan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.