fb fb fb fb fb

Cadangan pembangunan bersama Laut Sulawesi masih di peringkat awal

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan sentiasa menilai secara menyeluruh terhadap sebarang cadangan.

KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi yang dibincangkan antara Malaysia dan Indonesia ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jakarta pada 27 Jun lalu masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, cadangan itu merujuk kepada kerjasama meneroka kebarangkalian pembangunan di Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan Pelantar Benua.

Beliau menjelaskan, cadangan tersebut tidak termasuk dalam kandungan Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 kerana perjanjian itu hanya melibatkan sebahagian zon laut wilayah dan tidak menyentuh dua blok berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sabah dalam rundingan teknikal persempadanan maritim bersama Indonesia. Pandangan Kerajaan Sabah turut diambil kira bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Datuk Mohamad Alamin menambah, kerajaan sentiasa menilai secara menyeluruh sebarang cadangan termasuk aspek kerjasama ekonomi supaya memberi manfaat timbal balik kepada Malaysia dan Indonesia.

TUN JULIA MOHD TAHIR