PUTRAJAYA, 10 Mac- Cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewujudkan jawatan fleksi bagi pembantu perubatan terlatih sedang diteliti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata perincian dan kajian berkaitan cadangan itu telah dibawa ke JPA tahun lepas.
Setakat ini, penempatan pembantu perubatan yang dinaikan pangkat adalah mengikut kekosongan perjawatan.
"Kepakaran-kepakaran yang telah terlatih yang mempunyai satu kepakaran khusus agak wajar untuk kepakaran ini dikekalkan di fasiliti. Maka permohonan mereka adalah mewujudkan satu jawatan fleksi dan perkara ini telah pun dikaji oleh Ketua Pengarah Kesihatan kita."
"Ia akan dibawa kepada menteri dan menteri akan menentukan hala tuju yang seterusnya. Kita lihat ada satu sudut yang positif berkenaan hasrat ini dan jika penjawatan penyelia ini diluluskan, kita berharap ia akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan," kata Lukanisman kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hari Pembantu Perubatan Ke-13 Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di sini.
Tambahnya, pertukaran ke fasiliti atau bidang lain secara tidak langsung menjejaskan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan selamat kepada pesakit.
Sementara itu,Datuk Lukanisman memaklumkan seramai 528 orang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang berstatus kontrak telah diberikan jawatan tetap pada 18 Mac ini dan baki 251 orang PPP yang lain akan ditetapkan pada Mei dan Jun tahun ini.
"Buat tempoh setahun ini, pegawai-pegawai yang berada di dalam status kontrak ke tetap, kita mempunyai satu tempoh interim sehingga sistem persaraan dapat ditetapkan."
"Walaupun demikian, kita akan membuat satu pengecualian untuk lantikan ini kerana lantikan ini telah pun dirancang sejak tahun lepas dan selebihnya kita akan tunggu keputusan JPA mengenai hala tuju yang terbaik kepada penjawat-penjawat awam," tambah Lukanisman.