PONTIAN, 4 Oktober – Cadangan untuk mendalamkan lagi dasar sungai bagi mengatasi masalah banjir di beberapa kawasan Parlimen Tanjung Piai akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kerja-kerja mendalamkan sungai pernah dilakukan sebelum ini namun langkah itu masih belum mencukupi untuk mencegah banjir kilat daripada berulang.
Menurut beliau, masalah tersebut memberi kesulitan kepada penduduk kampung dan perlu ditangani segera.
“Insya-Allah, saya akan bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibincangkan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), supaya ada cadangan lebih sesuai untuk atasi isu ini.
"Kita tak mahu keadaan ini berulang kerana memang menyusahkan penduduk,” katanya.
Wee menambah, pihaknya turut berusaha mendapatkan bantuan bagi meringankan beban penduduk terjejas banjir.
Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan penduduk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Raya, Pontian hari ini.