KUANTAN, 19 Februari- Seorang buruh warga Bangladesh ditemukan lemas selepas dipercayai ditarik ombak semasa mandi di pantai Kampung Baru Gebeng, Kuantan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menerusi satu kenyataan berkata mangsa Md Rashidul, 30, ditemukan terdampar di pantai pada 4.51 petang kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
Beliau berkata, mangsa bersama dua rakan dikatakan mandi sekitar 100 meter dari pantai itu pada 12 tengah hari sebelum mereka ditarik ombak.
"Rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dikatakan tenggelam dan hilang.
"Rakan mangsa bergegas pulang ke kilang tempat mereka bekerja untuk memberitahu pengurus mereka yang kemudiannya memaklumkan kepada polis pada 3.15 petang," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.