fb fb fb fb fb

Buli siber: Perlu wujudkan persekitaran digital lebih selamat

Foto Hiasan

CYBERJAYA, 11 Julai -Usaha kolektif pelbagai pihak diperlukan bagi mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk menangani insiden buli siber yang boleh membawa kesan buruk termasuk isu kesihatan mental, pengasingan sosial juga kehilangan nyawa.

Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan), Rafiq Razali berkata peningkatan membimbangkan dalam isu buli siber juga memberi kesan buruk kepada individu dan komuniti.

"Statistik terkini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendedahkan sebanyak 51,638 kes kandungan berbahaya tersebar di media sosial hanya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Kesan daripada interaksi dalam talian terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan tidak dapat dinafikan.

"Masyarakat perlu ada kesedaran untuk mencegah isu bunuh diri kerana buli siber, bukan menuding jari atau menyalahkan mangsa," katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, amat penting untuk meningkatkan pengawalseliaan kendiri dan penciptaan kandungan yang bertanggungjawab untuk memupuk budaya hormat-menghormati dan empati dalam semua interaksi dalam talian.

"Baru-baru ini, Forum Kandungan mengadakan webinar untuk menangani isu ucapan kebencian dalam talian, yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menjalankan dialog dan sesi latihan dengan universiti, sekolah, guru dan ahli akademik tentang memerangi buli siber dan melindungi diri mereka dalam talian.

"Forum Kandungan menyokong penuh usaha kerajaan untuk menangani kes buli siber dan melindungi individu daripada bahaya dalam talian.

"Ini bukan sahaja melibatkan tindakan kerajaan tetapi juga penyertaan aktif daripada pertubuhan belia, pakar kesihatan mental, kumpulan masyarakat sivil, pendidik, ibu bapa, agensi penguatkuasaan undang-undang dan syarikat teknologi," katanya.

Menurut Rafiq, platform media sosial harus meningkatkan proses penyederhanaan kandungannya dan meneroka alat dipacu AI yang mengesan kandungan berbahaya yang berpotensi menghentikan buli siber sebelum ia bertambah parah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI