Bulan Ramadan bukan punca peningkatan kes tibi seluruh negara

Bulan Ramadan bukan punca peningkatan kes tibi seluruh negara.

KUALA SELANGOR, 21 Februari – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bulan Ramadan ketika ini bukanlah punca peningkatan kes Tuberkolosis atau Tibi di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bulan Ramadan tidak disalahkan sebagai punca peningkatan kes tibi di seluruh negara.
  • Peningkatan interaksi sosial dan perhimpunan menyumbang kepada risiko penyebaran tibi.
  • Amalan etika batuk, pengudaraan baik, dan memakai pelitup muka jika bergejala adalah digalakkan.

Namun, peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan secara umumnya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat.

“Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup.

“Selain itu, memakai pelitup muka setiap kali kita bergejala dan berada di tempat sesak. Ini kerana tibi dia punya kadar insiden (IR) tidak seperti COVID.

” Tetapi perlu juga kita perhatikan dan saya ingin galakkan sekeras-kerasnya yang ada gejala dan berada dalam kesesakan atau tempat-tempat yang agak sempit perlu elakkan perbualan yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kick-Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan di sebuah pasar raya di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ts. Zalina Abdul Majid dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin.

Tambahnya, bekalan ubat semasa bagi rawatan penyakit Tibi di seluruh negara mencukupi.

“InsyaAllah. Ya, ubatan kita, ubat-ubat kita, yang empat kesemua itu semua cukup,” katanya ringkas.

Sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026), sebanyak 596 kes baharu Tibi telah direkodkan menjadikan bilangan kes keseluruhan 3,161.

Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 755 kes diikuti Selangor (596) dan Sarawak (332).