PUTRAJAYA, 30 September - Pelaksanaan subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menyaksikan peningkatan mendadak jumlah pembaharuan lesen memandu di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan purata harian pembaharuan lesen meningkat daripada 17,000 kepada 27,000 sehari sejak pengumuman subsidi dibuat kerajaan.
“Ini satu pertambahan lebih 50 peratus. Ramai yang sebelum ini membiarkan lesen mereka tamat tempoh, khususnya satu hingga tiga tahun, kini tampil untuk memperbaharui lesen supaya layak menerima manfaat subsidi BUDI RON95,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Menurut Anthony, trend itu membuktikan dasar kerajaan bukan sahaja memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia, malah mendorong lebih ramai pemegang lesen mengemaskini status lesen mereka agar sah dan aktif.
Beliau menegaskan hanya warganegara Malaysia dengan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sah layak menerima subsidi, manakala hampir 900,000 pemegang lesen asing tidak lagi menikmati harga RON95 bersubsidi.
“Bagi rakyat Malaysia, sekiranya ada masalah teknikal atau status lesen tidak dikemaskini, mereka boleh hadir ke JPJ untuk semakan dan pembetulan. Tiada bayaran dikenakan untuk kemas kini data,” katanya.