fb fb fb fb fb

BUDI95 bukti keprihatinan kerajaan terhadap pasukan keselamatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 September – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pelaksanaan subsidi bersasar menerusi Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang akan dinikmati lebih awal oleh warga ATM dan PDRM.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi mempertahankan tanah air.

“ATM amat menghargai sokongan padu dan keprihatinan kerajaan. Langkah itu meringankan beban kos sara hidup kira-kira 120,000 warga ATM serta meningkatkan moral pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui pengumuman itu, warga ATM dan PDRM akan mula menikmati subsidi lebih awal bermula 27 September ini, tiga hari sebelum tarikh kuat kuasa rasmi pada 30 September.

Di bawah program tersebut, warga ATM bersama rakyat Malaysia layak menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.05, dengan had kelayakan 300 liter sebulan.

“ATM akan terus komited melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara demi rakyat,” tegasnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD