KULAI, 2 Mei- Seorang kanak-kanak lelaki ditemui maut, selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sepakat Baru,Kulai, Johor semalam.
Mayat mangsa yang juga orang kurang upaya, OKU autism berusia lima tahun itu ditemui kira-kira 130 meter dari lokasi kejadian.
Menurut maklumat Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.59 petang.
Beliau berkata, laporan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
"Sejurus tiba, operasi mencari dan menyelamat menggunakan teknik pencarian di permukaan dimulakan.
"Mayat kemudian ditemui kira-kira pukul 11.15 malam, 130 meter dari lokasi jatuh di kedalaman empat meter,"katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tan Seng Lee pula memaklumkan, mayat mangsa kini berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi tujuan bedah siasat.