fb fb fb fb fb

Bubu naga, pukat rawa sorong bernilai lebih RM45,000 dirampas

Rampasan dibuat menerusi OP MARDOF UTARA 03/2024

KUALA PERLIS, 26 September - Sebanyak 360 set bubu naga dan sebuah pukat rawa sorong dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), petang semalam.

Ia menerusi OP MARDOF UTARA 03/2024 iaitu operasi bersama Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis dan Zon Maritim Kuala Kedah; serta Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Kedah dan Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataan memaklumkan, 300 set bubu naga dan sebuah pukat rawa sorong dirampas menerusi operasi darat.

Ia melibatkan tiga kawasan di Perlis iaitu Kuala Sanglang, Sungai Padang dan Sungai Baru; serta dua kawasan di Kedah iaitu Kuala Kerpan dan Kuala Jerlun.

Manakala 60 set bubu naga dirampas di tiga kedudukan berasingan iaitu 1.07, 1.02, dan 0.96 batu nautika barat daya Kuala Kerpan, Kedah melalui operasi di laut.

Kesemua rampasan bernilai lebih RM45,000.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan; tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Trainee