fb fb fb fb fb

Bot karam: Operasi SAR belum jumpa sebarang petunjuk

Sidang media di lokasi operasi di kawasan perindustrian Bintawa, Kuching

KUCHING, 19 Oktober- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dikhuatiri lemas dalam tragedi bot karam sewaktu sesi latihan regata di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, petang semalam masih tidak menjumpai sebarang petunjuk setakat pukul 1.00 tengahari tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata seramai 127 anggota dan pegawai dari 12 agensi penyelamat dikerahkan dalam operasi kali ini.

Beliau berkata kawasan operasi hingga 10 kilometer dari lokasi kejadian dan menfokuskan kepada dua lokasi pencarian iaitu di sekitar Sungai Sarawak dan diluar baraj hingga ke kawasan muara sungai.

Enam selaman dilakukan oleh pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, namun masih tidak menjumpai sebarang petunjuk.

Operasi SAR akan diteruskan menggunakan strategi sedia ada petang ini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di lokasi operasi di kawasan perindustrian Bintawa Kuching.

Dalam sidang media yang sama, beliau memaklumkan pasukan penyelam berdepan dengan cabaran jarak penglihatan yang tidak jelas akibat air sungai yang keruh ketika ini.

Sementara itu, kaum keluarga serta rakan-rakan mangsa dilihat berada di lokasi operasi bagi menunggu sebarang perkembangan.

Mangsa terdiri daripada anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak iaitu Mohamad Ikhmal Sama'ail, Majurie Maharuf, Mohd Afuq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin, Muhammad Khairul Hisyam Kasturi. Kesemua mangsa berumur lingkungan 22 hingga 35 tahun.

ROSLINA BINTI DIN