fb fb fb fb fb

Bot berlanggar: Pemancing hilang ditemukan mati, tersangkut di pukat

Foto Bomba

(Mayat pemancing yang lemas selepas tercampak dalam pelanggaran bot di Kampung Sungai
Sembayong semalam berjaya ditemui dalam keadaan tersangkut pada pukat bot nelayan/Foto Bomba)

JOHOR BAHRU, 6 September-Pemancing yang dilaporkan hilang selepas insiden dua bot berlanggar di Kampung Sungai Sembayong, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, ditemukan mati tersangkut di pukat bot nelayan, pada petang Isnin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim, berkata mayat lelaki berusia 33 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Fauzi, ditemukan pada pukul 3.20 petang, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.


(Operasi mencari dan menyelamat beberapa hari sebelum mayat seorang pemancing ditemukan
yang tercampak berikutan kemalangan dua buah bot / Foto Bomba)

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat sepenuhnya pada 5.15 petang," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Rafiee berkata operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan dua unit bot aluminium.

"Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400m  dari kawasan mangsa dipercayai jatuh (daripada bot) dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dan selaman. 

"Operasi pencarian turut dibantu oleh orang kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan," kata beliau.

Pada kejadian semalam, tiga pemancing dilaporkan terjatuh selepas pelanggaran dua bot tersebut.

Bagaimanapun, dua pemancing dikenali sebagai Mohd Mumtaz Hamzah, 38, dan Kamisan, 31, berjaya diselamatkan orang awam manakala Fauzi dilaporkan hilang pada kejadian kira-kira 5 petang Isnin - BERNAMA

Media Baharu