
BANGI, 22 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas semasa yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.
- Larangan pembakaran terbuka; orang ramai diminta berjaga, kawal api dapur dan peralatan elektrik untuk cegah kebakaran.
- JBPM laksanakan tempoh Siap Siaga Raya 19 hingga 27 Mac, pembekuan cuti dan 80 peratus anggota bertugas bagi tindak balas segera.
- Langkah proaktif termasuk penambahan lapan jentera, kesiapsiagaan di 38 balai dan penggunaan dron untuk mengesan hotspot berisiko.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, berdasarkan rujukan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), suhu ketika ini berada satu tahap yang dianggap tinggi dan berisiko.
Beliau berkata, keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api, khususnya di kawasan kebun serta lokasi pembuangan sampah.
“Kita minta, sarankan kepada pihak masyarakat supaya waspada tentang keadaan cuaca yang panas sekarang ini. Khususnya tidak melakukan pembakaran terbuka.
“Maknanya pembakaran terbuka ini dilarang sama sekali. Juga menjaga keselamatan di rumah, api dapur, menjaga keselamatan peralatan-peralatan elektrik di rumah supaya tidak boleh mencetuskan kebakaran”, katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa sesi Lawatan Kesiapsiagaan Balai-Balai Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, hari ini.
Situasi itu turut dibuktikan dengan kejadian kebakaran hutan di kawasan Puncak Jalil baru-baru ini, yang dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca panas dan kering sehingga menyebabkan api cepat merebak.
Mengulas lanjut, Datuk Wan Md Razali menegaskan pembakaran terbuka walaupun berskala kecil boleh menjadi punca kebakaran besar sekiranya tidak dikawal, terutama ketika cuaca panas dan berangin.
Dalam menghadapi kemungkinan bencana, JBPM Selangor melaksanakan tempoh “Siap Siaga Raya” bermula 19 hingga 27 Mac dengan pembekuan cuti anggota, melibatkan kira-kira 80 peratus kekuatan pasukan bertugas sepanjang tempoh tersebut.
Menurut beliau, jabatan itu turut mengambil langkah proaktif termasuk penambahan lapan jentera baharu bagi menggantikan aset lama serta memastikan kesiapsiagaan di semua 38 balai bomba di seluruh negeri.
Katanya, pemantauan turut dipertingkat dengan penggunaan teknologi dron bagi mengesan kawasan hotspot yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk sekitar Hulu Langat, Jalan Johan Setia dan Raja Muda, yang dipantau rapi bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak bomba bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
“Kesedaran dan kerjasama orang ramai amat penting dalam mencegah kejadian kebakaran daripada terus meningkat, khususnya dalam keadaan cuaca panas ketika ini,” katanya.
JBPM Selangor akan terus bersiap siaga 24 jam secara syif sepanjang musim perayaan bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin.