KUALA LUMPUR, 21 Julai - Wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) akan terus membawa suara rakyat terutama dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN berkata, setiap persoalan dan kebimbangan rakyat akan diangkat dengan tegas dan berhemah.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir sesi perbincangan bersama wakil rakyat BN di ibu negara malam tadi - Foto FB Zahid Hamidi
"Bersempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini, saya bersama barisan Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional telah mengadakan sesi perbincangan malam tadi sebagai persediaan menghadapi sidang Parlimen kali ini.
"Insya Allah, kami akan terus membawa suara rakyat dengan penuh iltizam dan tanggungjawab. Setiap persoalan dan kebimbangan rakyat akan kami angkat dengan tegas dan berhemah, demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Dalam perjumpaan yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Rembau.
Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Ahli Parlimen Pengerang.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 24 hari dan antara tumpuan utama adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai ini.