fb fb fb fb fb

BN tegaskan tiada konflik dalam gabungan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KAJANG, 19 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujudnya perselisihan antara kepemimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat dan negeri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi BN menjelaskan, tiada perbezaan prinsip dalam gabungan itu, cuma terdapat penyelarasan tertentu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya tersebut.

"Kami sedang membuat pelarasan ketika ini dan saya telah menyemak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan. Tiada perbezaan pendirian antara UMNO dan Barisan Nasional di peringkat negeri dengan pihak pusat kerana kami sentiasa mengadakan rundingan dan perbincangan bersama.

Kami telah mencapai ketetapan bersama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam satu kesepakatan namun perkara yang melibatkan parti-parti gabungan lain masih dalam proses perbincangan.

Saya tidak fikir perlu ada jambatan atau saluran lain. Insya-Allah, kami akan mengadakan rundingan yang lebih meluas termasuk dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan perkara itu bagi menangkis dakwaan bahawa kepemimpinan BN di pusat dan negeri tidak sehaluan dalam kerjasama menghadapi PRU DUN Sabah.

Sebelum ini, media melaporkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional belum memuktamadkan kerjasama rasmi sebagai pakatan untuk PRU DUN Sabah, namun kedua-dua gabungan dijangka menyelesaikannya dalam masa terdekat.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE