fb fb fb fb fb

Bina lebih banyak rumah mampu milik di Kuala Lumpur - PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih banyak rumah mampu milik dibina di Kuala Lumpur.

Ia bagi membantu golongan miskin bandar memiliki kediaman dengan harga yang berpatutan.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini hanya membuat sasaran jumlah pembinaan rumah mampu milik, tetapi sasaran tersebut tidak pernah tercapai.

"Saya sebenarnya dalam pendekatan kerajaan ini...tidak berapa menggemari, agak sinis dengan unjuran ini. Selama ini satu menteri datang 100,000 rumah, 200,000 rumah tetapi tidak berhasil.

"Sebab itu saya beritahu kepada dewan bandaraya, saya nak tahu bulan ini berapa, untuk tahun depan berapa...jadi ia lebih baik dan kita boleh buat keputusan berdasarkan unjuran itu.

"Umpama sekarang ini 10,000 diperlukan dan buat sebelum Disember. Bagi saya lebih realistik kerana pengalaman kita, janji dan politik yang lunak itu tidak pernah dilaksanakan secara tuntas," katanya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, di sini hari ini.

Tambah Anwar, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung perkara tersebut.

Rumah mampu milik ditawar kepada M40 dan ke bawah

Mengenai majlis pecah tanah yang berlangsung, Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI menawarkan 1,010 unit rumah mampu milik kepada golongan M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman.

Cadangan pembangunan kediaman di tapak seluas 3.4 ekar itu merangkumi 3 komponen utama.

Selain Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI, ia juga melibatkan pembinaan Pusat Penjaja MADANI.

Setiap unit rumah Residensi Wilayah ditawarkan pada harga RM300,000 manakala Residensi Prihatin MADANI dijual pada harga RM200,000 seunit.

Media Baharu