fb fb fb fb fb

Bilangan penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat dan Johor berkurangan

FOTO FAIL

KUANTAN, 9 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat kepada 1,325 orang, setakat pukul 11.00 malam tadi berbanding 1,077 orang pada 7.00 malam tadi.

Menurut Portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka kini ditempatkan di 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah Rompin, Pekan dan Maran.

"Daerah Rompin merekodkan jumlah penduduk terjejas paling ramai dipindahkan iaitu 692 orang, yang kini ditempatkan di 11 PPS.

"Diikuti daerah Pekan dengan 621 orang yang berlindung di 11 PPS," kata portal itu.

Manakala, di Maran, hanya satu PPS yang dibuka iaitu Balairaya Kampung Baru Pertanian, yang menempatkan 12 penduduk terjejas.

Di Johor jumlah penduduk terjejas banjir berkurangan menjadikan 7,938 penduduk terjejas berbanding 7,965 penduduk setakat pukul 10.00 malam tadi.

Mereka kini masih berlindung di 53 buah PPS. 

Mengikut data yang dikemaskini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kota Tinggi kekal paling ramai dengan 4,710 penduduk terjejas daripada 1,291 keluarga di 26 PPS.

"Diikuti Johor Bahru 1,715 orang daripada 458 keluarga di 12 PPS, Kluang 1,306 penduduk daripada 385 buah keluarga di sembilan PPS.

"Manakala daerah lain seperti Kulai kekal 86 orang dengan 23 buah keluarga, Segamat kekal 75 penduduk dengan 21 buah keluarga terjejas serta Pontian juga kekal sama 22 penduduk daripada lima keluarga terjejas." menurut JPBN.

Sementara itu enam jalan di Kota Tinggi termasuk Jalan Sg Telor, Jalan Semanggar dan satu jalan di Mersing serta Jalan Kangkar Tebrau di Johor Bahru ditutup untuk semua jenis kenderaan.

TETITIA YUSOFF