fb fb fb fb fb

Bilangan pembayar zakat meningkat 5,379 orang kepada 92,086 orang sehingga 31 Julai 2025

15 syarikat korporat menunaikan zakat perniagaan

KUANTAN, 22 Ogos – Sebanyak 15 syarikat korporat telah menunaikan zakat perniagaan kepada Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan jumlah melebihi RM100 juta sehingga Julai lalu.

Antara syarikat yang terlibat ialah Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad, Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menurut Pengurus PKZW Pahang, Mohd Azmi Othman, kutipan zakat harta terkumpul setakat ini berjumlah RM104.7 juta, berbanding RM96.5 juta dalam tempoh sama pada tahun 2023.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM141.1 juta zakat telah diagihkan kepada golongan asnaf yang berhak, khususnya fakir dan miskin,” katanya ketika menyampaikan taklimat Serahan Zakat Korporat Siri 1/2025 di Hotel Darul Makmur, Kuantan.

Menerusi MUIP, wang zakat turut diagihkan kepada kategori asnaf lain, antaranya peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM33.2 juta bagi dermasiswa dan bantuan pendidikan.

“Sehingga 31 Julai 2025, bilangan pembayar zakat meningkat sebanyak 6.2 peratus, iaitu peningkatan seramai 5,379 orang, daripada 86,707 kepada 92,086 pembayar, berbanding tempoh sama pada tahun 2024,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, mewakili Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, selaku Yang Dipertua MUIP, untuk menerima serahan zakat korporat berkenaan.

Penyerahan zakat kali ini turut menyaksikan Lembaga Tabung Haji sebagai pembayar zakat tertinggi dengan jumlah melebihi RM5.51 juta, diikuti CIMB Islamic Bank Berhad (RM2.40 juta), Etiqa Takaful (RM1.80 juta) dan Alam Flora Sdn. Bhd. (RM1.31 juta).

HASRON BIN HASSAN