fb fb fb fb fb

Betong bersedia menjadi lebih progresif dan makmur

FOTO Pejabat Timbalan Premier Sarawak

BETONG, 18 Februari- Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) menerusi pelbagai strategi dan program seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), dijangka akan menyaksikan pendapatan serta taraf hidup rakyat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Berucap dalam satu majlis bersama penjawat awam di Betong, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu bahagian itu bertuah kerana sudah mempunyai pembangunan infrastruktur yang komprehensif seperti rangkaian jalan raya dan liputan bekalan air serta elektrik yang hampir siap sepenuhnya.

Jelasnya, perkara tersebut merupakan hasil inisiatif pemimpin terdahulu seperti bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang.

"Sekarang kita mahu melengkapkan usaha itu dengan pembangunan program dan aktiviti ekonomi untuk menjana pendapatan penduduk setempat,"katanya.

Ujarnya lagi, walaupun Betong sudah mempunyai golongan berpendapatan tinggi dalam kalangan pekebun pokok kelapa sawit dan lada, beliau mahu lebih ramai penduduknya yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Datuk Amar Douglas yang juga ADUN Bukit Saban dan Pengerusi BDDA juga memberitahu, pihaknya turut menyediakan banyak peluang kepada sesiapa yang berminat, malah BDDA kini sedang memperkenalkan amalan pertanian tepat seperti fertigasi dan lain-lain lagi, kearah mentransformasikan Betong sebagai sebuah hub makanan serantau, khususnya melalui dua taman agro di Bebuling serta Lubok Tamang.

Beliau juga berharap BDDA dapat merangka pelan utama pelancongan untuk Betong dalam jangka masa dua tahun dari sekarang, manakala sejumlah RM16 juta telah diperuntukkan untuk membina replika kubu Rentap di Bukit Sadok.

Dalam ucapannya, Datuk Amar Douglas juga berkata, pihaknya telah mengenal pasti tapak-tapak yang sesuai bagi projek pembinaan pusat hemodialisis di Spaoh, Kabong dan Beladin dengan peruntukan RM5 juta untuk dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE