
GUA MUSANG, 5 Mac- Lebih 100 keluarga di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi 2 di sini menarik nafas lega selepas seekor beruang matahari yang bersarang di atas pokok dan berkeliaran di kawasan kampung sejak lebih setahun lalu berjaya ditangkap awal pagi tadi.
- Beruang matahari yang sering berkeliaran di RPT Limau Kasturi sejak lebih setahun berjaya ditangkap awal pagi tadi.
- Perangkap PERHILITAN dipasang berhampiran rumah penduduk dan berfungsi kira-kira pukul 2.30 pagi.
- Penduduk lega kerana ancaman terhadap kanak-kanak dan keselamatan kampung kini berkurang.
- Beruang dipercayai dibawa oleh sumber makanan seperti ternakan kelulut dan sering muncul waktu malam.
Haiwan liar itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kira-kira pukul 2.30 pagi.
Seorang penduduk, Mohamad Rozaidi Hassan berkata perangkap berkenaan dipasang di tepi rumahnya kira-kira tiga hari sebelum beruang tersebut berjaya ditangkap.
Katanya, dia bersama ahli keluarga yang sedang tidur tersedar selepas terdengar bunyi kuat dari arah perangkap besi berhampiran rumahnya.
“Dari tahun lepas lagi, beruang ini datang berkeliaran cari makanan. (Malam tadi) Saya tengah tidur, sedar bila dengar bunyi perangkap. Rasa lega bila dah berjaya tangkap,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Khairol Husin berkata kawasan tersebut mempunyai banyak ternakan kelulut yang dipercayai menjadi antara punca haiwan berkenaan datang mencari makanan.
Menurutnya, beruang itu juga pernah dilihat berkeliaran pada waktu malam, sekitar pukul 11.00 hingga 12.00 tengah malam.
Penduduk, Habsah Daud pula berkata dia pernah terserempak dengan beruang tersebut sebelum ini dan menganggarkan beratnya sekitar 30 hingga 40 kilogram.
Katanya, penangkapan haiwan berkenaan melegakan penduduk yang sebelum ini bimbang dengan keselamatan terutama kanak-kanak di kawasan itu.